Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menetapkan empat kriteria utama untuk melayakkan seseorang memohon subsidi perumahan di bawah program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M).
Presidennya Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata empat kriteria itu adalah mempunyai pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000, memiliki tanah sendiri, sudah berkahwin dan tidak pernah memiliki rumah sendiri sebelum ini.
Di samping itu, beliau berkata pemohon disaran memohon pembiayaan perumahan itu daripada empat institusi kewangan yang akan memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) bersama SPNB dalam tempoh terdekat.
"Bagaimanapun nama bank berkenaan akan diumumkan kemudian selepas majlis menandatangani MoU itu. SPNB juga tidak menghalang mana-mana pemohon yang ingin memohon pembiayaan perumahan selain empat bank ini, namun kita tidak tahu berapa kadar faedah yang akan dikenakan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Semalam Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan kerajaan akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik.
Ahmad Husni berkata SPNB akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000.
Bagaimanapun, Kamarul Rashdan berkata harga rumah mampu milik itu belum ditolak lagi dengan jumlah subsidi berkenaan.
"Contohnya kalau beli rumah berharga RM65,000 akan diberi subsidi RM20,000 maka jumlah pembiayaan rumah itu hanya RM45,000. Sekiranya membeli rumah berharga RM55,000 akan diberi subsidi RM17,500 manakala untuk rumah berharga RM45,000 akan diberi subsidi RM15,000 maka harga asal rumah akan ditolak dengan jumlah subsidi untuk memohon pembiayaan," katanya.
Beliau berkata menerusi kaedah pembiayaan perumahan daripada institusi kewangan berkenaan akan mempercepatkan proses pemilikan rumah RMR1M iaitu dalam tempoh lima bulan sahaja.
"Kalau hendak tunggu pembiayaan sepenuhnya daripada SPNB memakan masa untuk memiliki rumah misalnya tiga tahun sebab peruntukan tidak mencukupi berbanding permintaan yang tinggi saban hari terhadap RMR1M ini," katanya.
Mengulas lanjut mengenai RMR1M itu, beliau berkata pemohon diberi peluang memilih reka bentuk yang diminati dan sehingga kini SPNB menerima 54 reka bentuk daripada pembekal teknologi sistem binaan berindustri (IBS).
Dalam pada itu, Kamarul Rashdan berkata SPNB menyasarkan akan membina rumah RMR1M antara 5,000 sehingga 10,000 unit pada tahun depan dengan kos antara RM450 juta hingga RM650 juta.
Katanya bermula tahun 2000 sehingga kini SPNB membina 24,522 unit rumah RMR1M dengan jumlah RM1.56 bilion dan ketika ini SPNB sedang membina 5,300 unit RMR1M.